Kuching City FC kaji keahlian penyokong – Fazzrudin

KUCHING: Pasukan bolasepak Kuching City FC akan mengkaji cadangan untuk mengadakan keahlian bagi penyokong mereka.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga Presiden Kuching City FC, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, cadangan tersebut merupakan satu idea yang sangat baik.

“Kita akan memperhalusi perkara tersebut dan ambil maklum selain memulakan kajian mengenai keahlian tersebut.

“Saya rasa itu satu idea yang sangat baik. Terima kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jersi Kuching City FC 2026-2027 di pusat beli-belah Plaza Merdeka, di sini hari ini.

Ketika ditanya perkembangan terkini, Fazzrudin menjelaskan, kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM7 juta untuk membangunkan Stadium Negeri.

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya akan bekerja rapat dengan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) sebagai pemilik stadium.

Menurutnya, ini kerana pihaknya perlu menggunakan stadium berkenaan sebagai venue perlawanan mereka.

“Kalau kita mahu melaksanakan keseluruhan kerja menggunakan peruntukan RM7 juta itu sekali gus, kita mungkin tidak dapat menggunakan stadium tersebut selama sembilan hingga 10 bulan,” katanya.

Katanya, disebabkan itu pihaknya berbincang mengenai pelaksanaan kerja-kerja yang penting terlebih dahulu antaranya memenuhi syarat ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) serta Asian Football Confederation (AFC).

Beliau berkata, terdapat kemungkinan juga mereka akan berpindah ke Stadium Sarawak sebagai venue perlawanan dan itu terpulang kepada perbincangan mereka dengan SSC.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan serta rakan-rakan strategiknya terdiri daripada Air Borneo, Affin Bank, Press Metal, TVS serta Lea Sports Centre (LSC).