RM34.87 juta diluluskan laksana 148 projek rumah ibadat

KUCHING: Sebanyak RM34.87 juta diluluskan bagi melaksanakan 148 projek rumah ibadat di negeri ini menerusi Fasa Satu Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain (RALA) 2026.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab ke atas UNIFOR, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peruntukan itu disalurkan kepada 45 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) untuk disampaikan kepada penerima di kawasan masing-masing.

“Bagi Fasa Satu tahun 2026, sebanyak RM34.87 juta diluluskan untuk melaksanakan 148 projek,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama Agama Lain Tahun 2026 ( Fasa 1), di sini, hari ini.

Menurutnya, baki RM55.12 juta akan disalurkan menerusi Fasa Dua pada tahun ini, dengan sasaran penyaluran selewat-lewatnya Oktober.

Bagi keseluruhan tahun 2026, RM43.9 juta diperuntukkan untuk rumah-rumah ibadat, manakala RM30 juta disediakan bagi membantu sekolah-sekolah mubaligh.

Uggah berkata, bantuan kepada sekolah mubaligh kini turut memberi tumpuan kepada aspek perisian, kemahiran insaniah dan kelas motivasi selain kemudahan infrastruktur.

Usaha itu penting bagi membantu lebih ramai pelajar khususnya dari luar bandar, memenuhi syarat kemasukan ke universiti milik kerajaan negeri dan menikmati pendidikan tinggi percuma.

“Kita tidak mahu mereka kehilangan peluang yang telah disediakan oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” tambahnya.

Beliau berkata, perhatian khusus turut diberikan kepada peningkatan prestasi akademik pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Menurutnya, jumlah keseluruhan peruntukan yang disalurkan kepada UNIFOR sehingga 2026 kini mencecah RM565 juta.

Beliau turut mengingatkan penerima supaya mematuhi syarat ditetapkan bagi memastikan setiap peruntukan digunakan mengikut kelulusan selain dipantau dengan teliti bagi menjamin integriti, ketelusan dan akauntabiliti.