LAWAS: Kawasan Ulu Merapok dan Merapok Laut bersama kawasan di daerah kecil Sundar di sini, dikenali pasti sebagai jelapang padi yang akan dibangunkan bersama sektor swasta.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Premier Sarawak pada dasarnya telah meluluskan peruntukan untuk membangunkan kemudahan asas di kawasan terbabit.
“Peruntukan itu adalah untuk membangunkan kemudahan seperti saliran dan jalan ke kawasan berkenaan,” katanya pada sesi bertemu media di Merapok Service Centre di sini, semalam.
Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari berkata, peringkat seterusnya adalah untuk mengenal pasti sektor swasta yang berminat dalam membangunkan projek penanaman padi yang dirancangkan.
Penglibatan aktif sektor swasta dalam projek itu akan membolehkan jelapang padi berkenaan dibangunkan secara komersial menggunakan teknologi moden, katanya.
Beliau memberitahu, kerajaan telah menerima beberapa cadangan daripada sektor swasta yang menaruh minat untuk membangunkan projek berkenaan.
Pada masa sama, tambahnya, kerajaan akan memberi sokongan untuk membantu sektor swasta yang berminat melalui penyediaan infrastruktur yang diperlukan.
Awang Tengah sehubungan itu, menggesa pesawah tempatan supaya terlibat sama dengan sektor swasta dalam memastikan projek itu yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Kejayaan membangunkan jelapang padi itu akan mampu menambah pendapatan pesawah tempatan di samping meningkatkan pengeluaran beras Sarawak, katanya.
