SIBU: Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak (SRAS) dinaikkan had pendapatan kelayakan dari RM4,556 ke RM5,504, kata Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Abdul Yakub Arbi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian berkata, selain itu
tempoh bantuan turut dilanjutkan dari 36 ke 48 bulan mulai 2026.
Beliau berkata, peluasan manfaat itu membuktikan dasar SRAS sentiasa responsif terhadap perubahan dan keperluan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang menyewa rumah atau bilik.
Katanya, transformasi digital menerusi pelaksanaan Sistem Permohonan dan Pemantauan (SRAS) pula dijangka meningkatkan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan penyampaian skim berkenaan kepada rakyat.
“Nilai sebenar sistem ini bukan sekadar pada teknologi yang digunakan, tetapi sejauh mana teknologi tersebut dapat memudahkan urusan rakyat dan meningkatkan kecekapan penyampaian bantuan.
“Rakyat mahu proses yang jelas, urusan yang mudah dan permohonan mereka dikendalikan dengan cekap dan telus,” katanya pada Majlis Perasmian SRAS Go-Live: Transformasi Digital Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak di sini, di hari ini.
Menurutnya, skim itu diperkenalkan pada 2021 di bawah Strategi Pembangunan Post Covid-19 (PCDS) 2030 bagi membantu meringankan beban sewaan kediaman dan tekanan kos sara hidup rakyat.
“Pada peringkat awal, bantuan sebanyak RM200 sebulan diberikan sehingga tempoh 36 bulan. Namun, dasar yang baik ialah dasar yang sentiasa responsif terhadap perubahan keperluan rakyat,” jelasnya.
Abdul Yakub berkata, liputan skim itu turut diperluaskan kepada 10 kawasan di seluruh Sarawak pada tahun ini.
Katanya, sehingga Julai 2026, seramai 7,717 penyewa telah menerima manfaat SRAS dengan jumlah bantuan keseluruhan sebanyak RM52.4 juta.
“Angka ini menunjukkan bahawa SRAS bukan sekadar sebuah skim di atas kertas, sebaliknya bantuan sampai kepada rakyat,” tegasnya.
Program tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee.
