Isu internet, bekalan air antara aduan penduduk Lawas

LAWAS: Masalah telekomunikasi, bekalan air bersih dan utiliti menjadi antara isu utama yang dibangkitkan penduduk di Lawas.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kedua Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, beliau turut menerima pelbagai input secara langsung daripada penduduk berhubung masalah yang dihadapi.

“Saya sendiri mengalami kesukaran menggunakan telefon bimbit untuk berhubung ketika berada di Lawas sejak Ahad lalu berikutan masalah telekomunikasi,” katanya ketika sesi ramah mesra, di sini, hari ini.

Beliau berkata, masalah capaian internet turut menyukarkan pengamal media memuat turun gambar dan video sepanjang program rasmi di Lawas.

“Capaian internet yang amat lemah turut menyukarkan rakan media untuk memuat turun gambar dan video program,” tambahnya.

Sesi berkenaan turut disertai Ahli Parlimen P.222 Lawas, Dato Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawan N.80 Batu Danau, Datuk Paulus Palu Gumbang, Pengarah Lembaga Pembangunan Utara Sarawak (NRDA), Datu Ubaidilah Latip dan Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi.

Sesi ramah mesra itu memberi ruang kepada beliau mendengar secara langsung pandangan penduduk berhubung keperluan kemudahan asas dan perkhidmatan di Lawas.