DALAT: Sarawak perlu memperkukuhkan tenaga penjaga warga emas berkemahiran sebagai persediaan menghadapi perubahan demografi apabila negeri ini dijangka menjadi negeri menua menjelang 2028.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, peningkatan jumlah warga emas memerlukan sistem penjagaan lebih tersusun dan tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada keluarga.
Katanya, keperluan itu melibatkan sokongan komuniti, perkhidmatan kesihatan, kemudahan sosial serta tenaga penjaga yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran bersesuaian.
“Ini memerlukan pendekatan masyarakat yang melibatkan keluarga, komuniti, kerajaan, institusi latihan, penyedia perkhidmatan dan tenaga kerja terlatih,” katanya pada sesi perkongsian dan perbincangan Penjaga Warga Emas dan Penjaga Paliatif di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Dalat, hari ini.
Fatimah berkata, penjagaan warga emas juga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada ekonomi penjagaan yang berpotensi menjadi sektor pekerjaan dan perkhidmatan yang semakin diperlukan.
Katanya, pelaksanaan Sijil Latihan Penjaga Warga Emas (TREC) selama lapan bulan di CENTEXS Dalat merupakan antara usaha menyediakan tenaga penjaga berkemahiran menerusi latihan teori, praktikal dan pendedahan kepada situasi penjagaan sebenar.
“Latihan penjaga bukan sekadar untuk mendapatkan sijil, tetapi turut membina kompetensi, keyakinan, disiplin kerja dan nilai kemanusiaan,” ujarnya.
Usaha memperkukuhkan profesionalisme penjaga turut dilaksanakan menerusi penilaian bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Rumah Seri Kenangan Kuching yang merekodkan purata keseluruhan 80.5 peratus, katanya.
Katanya, ia membabitkan lapan peserta mencapai Tahap Tiga Nilai Kemahiran dan sembilan peserta Tahap Dua Serba Boleh Kemahiran.
