Festival Cahaya, Luna Light Wonderland ditutup sementara susulan jerebu

KUCHING: Penutupan sementara Festival Cahaya dan Bunga Kuching 2026 dan Luna Light Wonderland di Taman Botani Sarawak kepada orang awam susulan keadaan jerebu membimbangkan.

Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pengunjung, petugas serta semua pihak yang terlibat dalam penganjuran kedua-dua acara berkenaan.

“Kualiti udara di kawasan bandar raya Kuching berada pada tahap membimbangkan dan keadaan ini boleh memberi risiko khususnya kepada golongan sensitif terhadap pencemaran udara,” katanya menerusi kenyataan media DBKU, di sini, hari ini.

Penutupan sementara itu akan berkuat kuasa sehingga keadaan jerebu kembali ke tahap selamat dan sesuai untuk aktiviti luar.

“DBKU akan terus memantau perkembangan kualiti udara dan keadaan jerebu dari masa ke semasa serta akan memaklumkan kepada orang awam mengenai pembukaan semula kedua-dua lokasi tersebut melalui saluran komunikasi rasmi DBKU,” tambahnya.

Golongan sensitif termasuk kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan dinasihatkan mengambil langkah sewajarnya susulan keadaan kualiti udara semasa.

Orang awam turut dinasihatkan mengikuti perkembangan terkini kualiti udara, mengurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk serta menjaga kesihatan diri dan keluarga.