Jerebu: Sarawak pantau penyakit, bekalan ubatan mencukupi

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang memantau dengan rapi kesan jerebu terhadap kesihatan orang ramai di seluruh Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, ini melalui Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Kesihatan Sarawak.

Beliau mendedahkan Jabatan Kesihatan Sarawak kini memantau penyakit berkaitan jerebu iaitu jangkitan saluran pernafasan atas (URTI), asma dan konjunktivitis (radang selaput mata) melalui 15 fasiliti kesihatan seluruh Sarawak.

“Dari Januari hingga akhir Ogos 2026, fasiliti ini merekodkan kira-kira 694,800 kunjungan pesakit, termasuk 64,688 kes URTI dan 6,156 kes asma,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Dr Sim berkata, susulan kemerosotan kualiti udara yang sejak awal Ogos, pemantauan kesihatan menunjukkan sedikit peningkatan dalam kes URTI dan peningkatan yang lebih ketara dalam kes konjunktivitis manakala kes asma secara keseluruhannya kekal stabil di peringkat Sarawak.

Manakala, purata kes URTI meningkat daripada kira-kira 1,717 kes seminggu pada awal tahun kepada 1,752 kes seminggu dalam beberapa minggu kebelakangan ini, manakala kes konjunktivitis meningkat daripada kira-kira 17 kes kepada 21 kes seminggu.

“Perkara yang perlu diberi perhatian ialah peningkatan ketara kes URTI pada pertengahan Ogos, dengan Zon Selatan merekodkan kira-kira 1,250 kes, Zon Tengah melebihi 1,000 kes dan Zon Utara mencatatkan kemuncak hampir 400 kes,” tambahnya.

Manakala di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Umum Sarawak (HUS), jumlah pesakit asma yang mendapatkan rawatan meningkat beberapa hari pada Ogos, namun pemantauan secara keseluruhan tidak menunjukkan peningkatan ketara dan berterusan dalam kes asma.

Beliau juga memberi jaminan kemudahan kesihatan di Sarawak kekal bersedia dan mempunyai bekalan mencukupi bagi menangani situasi semasa berkaitan jerebu.

“Stok ubat-ubatan dan bekalan perubatan penting semasa, termasuk pelitup muka tiga lapis, pelitup muka N95 dan silinder oksigen, mencukupi berdasarkan kadar penggunaan semasa,” jelasnya.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan mengikuti nasihat kesihatan yang dikeluarkan, serta mengambil langkah pencegahan sewajarnya apabila kualiti udara merosot.