SIRIM bantu syarikat Sarawak tembusi industri tenaga

KUCHING: SIRIM membantu syarikat Sarawak memenuhi piawaian dan keperluan teknikal bagi membuka akses kepada pasaran lebih besar, khususnya dalam sektor tenaga.

Timbalan Menteri (Utiliti dan Telekomunikasi) Sarawak, Datuk Ibrahim Baki berkata, keperluan teknikal kini semakin mempengaruhi akses pasaran dan daya saing perniagaan.

“Bagi Sarawak, perkara ini amat relevan memandangkan industri kita semakin berkembang dan lebih bersepadu dengan rantaian bekalan serantau serta global,” katanya semasa berucap pada Program Sesi Kemas Kini dan Jaringan SIRIM 2026, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan memberi perhatian kepada keupayaan syarikat tempatan dari segi sistem, kemahiran dan keupayaan teknikal untuk memenuhi keperluan pasaran.

Piawaian dan pensijilan pula menjadi asas kepada syarikat untuk membuktikan kualiti, kebolehpercayaan serta pematuhan kepada pelanggan dan rakan niaga.

Program itu turut menyaksikan penyampaian sijil Sistem Pengurusan Kualiti ISO 29001 bagi Industri Petroleum, Petrokimia dan Gas Asli serta sijil di bawah Skim Pensijilan Produk SIRIM.

“Ini juga menunjukkan nilai kerjasama antara Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dengan SIRIM dalam menyokong pembangunan keupayaan industri,” tambahnya.

Ibrahim berkata, lebih banyak syarikat Sarawak perlu memanfaatkan piawaian dan pensijilan bagi mendapatkan peluang bernilai tinggi serta menyertai rantaian bekalan domestik dan global.

Beliau turut menggalakkan pihak industri memanfaatkan kepakaran SIRIM bagi memahami keperluan baharu berkaitan teknologi, kelestarian dan jangkaan pelanggan.

Kerjasama berterusan antara kementerian, SIRIM dan industri penting bagi membantu syarikat Sarawak memenuhi tuntutan pasaran serta rantaian bekalan yang semakin mencabar.