Dasar kuota 30 peratus projek kontraktor Bumiputera diperluas

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuhkan keupayaan kontraktor tempatan, khususnya dalam kalangan Bumiputera.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah tersebut amat penting bagi memastikan kontraktor terbabit mampu menguasai teknologi pembinaan moden dan memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negeri.

“Industri pembinaan perlu bergerak daripada kaedah tradisional kepada penggunaan automasi.

“Ini kerana, teknologi moden ini perlu bergerak seiring bagi meningkatkan produktiviti serta daya saing kontraktor tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Negeri Sarawak Kali Ke-27 Tahun 2026, di Hotel Sheraton di sini, malam ini.

Tambahnya, menerusi kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), kontraktor tempatan turut diberikan latihan termasuk kemahiran mengendalikan kren menara bertingkat.

“Latihan ini sangat penting bagi membolehkan mereka terlibat dalam pembinaan bangunan tinggi dan projek infrastruktur berskala besar,” ujarnya.

Pada masa sama, Abang Johari memaklumkan, dasar kuota 30 peratus projek kerajaan untuk kontraktor Bumiputera yang sebelum ini dilaksanakan bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) diperluaskan kepada projek-projek utama negeri.

Menurutnya, pembangunan industri pembinaan merupakan sebahagian daripada agenda lebih besar Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030).

Katanya, hasil negeri berjaya ditingkatkan daripada sekitar RM7 bilion kepada RM14 bilion pada 2025.

Kejayaan tersebut katanya, membolehkan kerajaan menyalurkan semula pendapatan itu kepada pembangunan untuk rakyat. – NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI