KUCHING: Kerajaan Sarawak berhasrat meneroka peluang kerjasama dengan Pusat Pembangunan Kanak-Kanak Estella dalam intervensi awal kanak-kanak berkeperluan khas.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, langkah itu bagi memperluaskan program intervensi, perkhidmatan jangkauan serta latihan kepada ahli terapi intervensi awal di pelbagai bahagian Sarawak.
“Kerajaan negeri turut melihat keperluan membantu keluarga berpendapatan B40 yang berdepan beban kos intervensi awal dan terapi, termasuk melalui kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan pusat berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan Estella Child Development Centre di Level 1, Urban Residences, Jalan Central Timur, di sini, hari ini.
Fatimah sehubungan itu berharap pusat berkenaan terus berkembang dan memperluaskan perkhidmatan itu kepada lebih ramai kanak-kanak serta keluarga di seluruh Sarawak.
Katanya, Kerajaan Sarawak mengiktiraf kepentingan intervensi awal dalam membantu meningkatkan perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas termasuk autisme, kelewatan pertuturan, ADHD dan keperluan neuroperkembangan.
