Cadangan kenakan syarat kepada pelabur berhijrah ke Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadang agar mengenakan syarat kepada peniaga atau pelabur yang berhasrat untuk berhijrah ke negeri ini pada masa akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, syarat itu mendepositkan sekurang-kurangnya RM2 juta atau membeli hartanah tidak kurang daripada RM1.5 juta.

“Salah satu syarat untuk mendapatkan status penduduk tetap (PR) di Malaysia adalah pemohon perlu membuat pelaburan di negara ini.

“Oleh itu, saya mahu mencadangkan syarat ini kepada Premier Sarawak memandangkan kelak kita ada bank sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) N8 Satok Zon 4 Ranting Segedup dan Ranting Sungai Maong di Dewan Haji Kamarudin, Kampung Segedup di sini, semalam.

Hadir sama, ADUN Satok Dato Ibrahim Baki.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Petra Jaya itu memberitahu, Kerajaan Persekutuan sudah membentuk pasukan untuk meneliti keseluruhan kos serta reka bentuk bagi pembinaan Pusat Kanser Sarawak.

Katanya, ia susulan persetujuan yang dicapai untuk membina pusat tersebut menggunakan peruntukan kerajaan Sarawak terlebih dahulu.

“Langkah yang diambil Sarawak membuktikan pendapatan serta politik di negeri ini amat stabil sehingga kerajaan dapat memfokuskan kepada usaha membangunkan negeri demi kesejahteraan rakyat.

“Hanya Sarawak yang mampu berbuat demikian. Belum ada kerajaan negeri lain yang memberi pinjaman kepada kerajaan pusat, Sarawak adalah satu-satunya,” katanya.