Cadangan syarat jadi penduduk tetap bakal jana ekonomi, pekerjaan – Abang Johari

KUCHING: Kerajaan Sarawak mengalukan cadangan pihak yang berhasrat berhijrah ke Sarawak dan dikenakan syarat membuat deposit kewangan atau membeli hartanah.

“Memang saya mengalukan (syarat ini) yang boleh menjanakan pekerjaan, boleh menjanakan ekonomi kita. Kita akan pertimbangkan,” menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan di Tebingan Kuching di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof mencadangkan agar peniaga atau pelabur yang berhasrat berhijrah ke Sarawak dikenakan syarat mendepositkan sekurang-kurangnya RM2 juta atau membeli hartanah tidak kurang dari RM1.5 juta

Abang Johari berkata, syarat ini perlu kerana prestasi ekonomi Sarawak sudah mengatasi Johor dan antara tiga teratas di negara ini serta tidak lama mungkin Sarawak akan mengatasi Selangor.

“Sebab itu ramai yang hendak pindah sini, tapi kita hendakkan orang yang boleh menyumbang idea baharu,” katanya.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr. Sim Hui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.