JKM sedia beri khidmat kaunseling kepada keluarga pelajar

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga pelajar yang terlibat dalam insiden serangan terhadap seorang guru di sebuah sekolah di Kuching baru – baru ini, sekiranya diperlukan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, pihaknya tidak mahu mendesak keluarga terbabit mendapatkan perkhidmatan berkenaan.

Menurutnya,keadaan ini disebabkan kerana mereka masih memerlukan masa untuk menenangkan diri,ujarnya.

“Kita tidak mahu tergesa-gesa kerana keluarga mungkin masih terkesan dengan kejadian itu dan sedang berhadapan dengan proses siasatan polis.

“Jadi, kita perlu memberikan mereka ruang untuk menenangkan diri. Sekiranya diperlukan, kita bersedia membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian program Pemerkasaan Wanita dan Belia Melalui Kraf dan Seni Persembahan (WEAVE) 2026 di Muzium Budaya Borneo di sini, hari ini.

JKM juga tegasnya, telah memaklumkan mengenai perkhidmatan kaunseling yang tersedia bagi membantu keluarga menghadapi situasi tersebut.

Beliau menjelaskan, JKM lazimnya tidak mengambil alih penjagaan kanak-kanak yang masih mempunyai keluarga, kecuali terdapat keadaan tertentu yang memerlukan tindakan sedemikian.

Mengulas mengenai guru dan pelajar yang mungkin mengalami trauma, Nancy berkata, pihak pendidikan mempunyai perkhidmatan kaunseling sendiri bagi mengendalikan perkara tersebut.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihak kementerian sentiasa bersedia memberikan kerjasama dan bantuan tambahan sekiranya diperlukan. – NORAIDA ABDUL KASSIM/ JIWA BAKTI