KUCHING: Sarawak menyasarkan lebih ramai tenaga mahir tempatan kembali berkhidmat di negeri ini susulan perubahan landskap ekonomi dan pertambahan peluang pekerjaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebelum ini negeri berdepan masalah penghijrahan tenaga mahir apabila graduan yang melanjutkan pengajian di luar negara tidak kembali.
“Dahulu, mereka yang belajar di luar negara tidak pulang kerana tahap ekonomi Sarawak masih rendah,” katanya pada Konvensyen Kepimpinan dan Pemerkasaan Murid Tingkatan Enam Negeri Sarawak Tahun 2026, di sini, hari ini.
Menurut beliau, perubahan dalam sektor petrokimia, perkapalan, perbankan dan penyiaran membuka lebih banyak ruang pekerjaan kepada anak Sarawak.
“Latihan yang kita berikan kepada generasi muda mesti sepadan dengan keperluan ekonomi negeri,” tambahnya.
Beliau berkata, pengambilalihan Pelabuhan Bintulu, pegangan majoriti dalam Affin Bank serta kewujudan stesen televisyen sendiri mencerminkan perubahan ekonomi Sarawak.
Usaha itu diharap dapat memastikan lebih ramai anak tempatan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri menjelang tahun 2030 dan seterusnya.
