Tiga pakej skim RES siap akhir tahun ini

SIBU: Penduduk di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro akan menikmati kemudahan bekalan elektrik 24 jam menjelang akhir tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, kawasan tersebut termasuk penempatan di daerah Sibu, Meradong, Matu dan Daro.

Menurutnya, tiga pakej Skim Perbekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar (RES) dalam kawasan tersebut akan disiapkan akhir tahun ini.

“Ini termasuk projek RES Batang Lassa 2, projek RES Batang Lassa 1 dan projek RES Sungai Passin.

“Hanya satu daripada tiga pakej ini sudah siap, manakala dua lagi, berdasarkan perkembangan semasa, semua isu lapangan telah diselesaikan,” katanya selepas Majlis Mantar Gawai dan perasmian RES dan Jambatan (titi dan jeti) di Rumah Willy Francis, hari ini.

Katanya, projek dalam pembinaan ialah Batang Lassa 1 RES dengan kos keseluruhan RM7.7 juta, kini 25 peratus siap.

“Ini termasuk tiga rumah panjang di kawasan itu iaitu Rh Geruka, Rh Selat dan Rh Johari.

“Satu lagi ialah projek RES Sungai Passin (RM6 juta), kini 63 peratus siap yang merangkumi bekalan elektrik ke tujuh rumah panjang, sebuah klinik, sebuah sekolah dan sebuah balai raya,” ujarnya.

Pada majlis itu, Safiee turut merasmikan penyiapan projek pembinaan jeti dan pontun baharu di rumah panjang itu dengan kos keseluruhan RM220,000.