KUCHING: Berita gembira buat wartawan sambilan atau ‘stringers’ apabila bakal menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bermula 1 Julai 2024.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Kementerian Komunikasi (KKM) melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) akan menampung caruman PERKESO untuk kesemua pengamal media dalam kategori tersebut bagi tempoh satu tahun.
“Saya juga meminta agar semua organisasi media berdaftar untuk mengemaskini data masing-masing bagi memudahkan bantuan ini disalurkan oleh kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan aluannya pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi memberitahu, bagi menghargai pengorbanan rakan-rakan media, pemberian rebat bil telefon pelan pascabayar yang dinamakan Insentif Rebat RAHMAH Pengamal Media akan dilaksanakan untuk tahun kedua pada Ogos ini.
Selain itu katanya, mana-mana organisasi media berdaftar yang masih belum melanggan kadar korporat yang ditawarkan oleh pengendali rangkaian mudah alih (MNO), boleh terus berhubung dengan mana-mana pengendali MNO bagi mendapatkan kadar korporat khas untuk pengamal media bermula 1 Julai 2024.
Hadir sama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
