KUCHING: Penubuhan Institusi Pengajian Tinggi Negeri (IPTN) masih dalam perbincangan di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, langkah itu sebagai usaha Kerajaan Sarawak memanfaatkan IPT milik kerajaan negeri.
“Semasa perjumpaan dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Zambry Abd Kadir dan semua exco pendidikan negeri di seluruh Malaysia, saya mewakili kementerian bagi membincangkan perkara ini.
“Universiti milik Kerajaan Negeri masih dianggap sebagai swasta dan memberi kesan terhadap sesebuah institusi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Persidangan Antarabangsa Pertama Kokurikulum dan Pengalaman Pembelajaran 2024 di Hotel Raia di sini, hari ini.
Tambah Dr Annuar, beberapa negeri mempunyai IPT milik kerajaan negeri seperti Melaka, Selangor dan di Sarawak, mempunyai lima IPT.
“Antara faedah daripada menubuhkan IPTN adalah Kerajaan Persekutuan mungkin boleh menyalurkan dana kepada IPT milik Kerajaan Sarawak,” katanya.
Lima IPT kerajaan negeri adalah Universiti Curtin, Universiti Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-CATS dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
Walaupun universiti-universiti tersebut dimiliki oleh Kerajaan Sarawak, namun ia masih diklasifikasikan sebagai universiti swasta dan tidak menerima geran atau peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, ujarnya.
GAMBAR: UKAS
