SPK Kampung Hulu Kabong fasa satu terima lebih 800 permohonan

KABONG: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM53 juta bagi menyediakan lebih 400 lot tanah rumah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kampung Hulu Kabong fasa satu dan dua.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, permintaan daripada penduduk belum memiliki rumah sendiri begitu tinggi dengan fasa satu telah menerima lebih 800 permohonan.

“Jika diikutkan hanya 200 permohonan sahaja diterima untuk fasa ini. Jadi, saya fikir fasa dua mungkin saya jangkakan perkara yang sama berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis dialog bersama agensi pelaksana rumah mampu milik bagi SPK Kampung Hulu Kabong Fasa 1 di Dewan Balai Polis Kabong, di sini, semalam.

Chee Kadir sehubungan itu berharap, kerajaan mempertimbangkan untuk melaksanakan fasa ketiga dan seterusnya.

Menurutnya, skim ini lebih tersusun dengan jalan berturap, lot tanah ditimbus dan dengan parit konkrit yang semuanya ditanggung Kerajaan Sarawak.