LAWAS: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM25 juta membina kilang pemprosesan keju di Stesyen Kerbau Meragang, Merapok di sini.
Pembinaan kilang itu untuk menjadikan daerah Lawas sebagai hab pengeluaran keju berjenama Mozarella
yang terkenal sebagai keju terbaik di dunia.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, rakan kongsi pengusaha keju di Lawas iaitu Green Valley Dairy Farm berjaya menjalin hubungan dagang dengan pembeli dari negara Timur Tengah, Afrika dan Eropah bagi tujuan eksport melalui rangkaian perdagangan global di Dubai.
Usaha itu melibatkan pihak swasta kerana di pihak kementerian berdepan dengan kekangan kakitangan terhad, katanya dalam taklimat sempena lawatan kerja Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ke Stesyen Pembiakan Kerbau di Meragang Lawas petang, semalam.
Selain itu, katanya, penglibatan pihak swasta dapat memastikan usaha itu lebih fokus dan menjana keuntungan untuk pihak-pihak terlibat.
“Datuk Seri di sini istimewa kerana kita angkat usaha stesyen pembiakan kerbau untuk dijadikan tempat pemprosesan susu kerbau menjadi keju.
“Keju Mozarella daripada susu kerbau ada di Langkawi dan Selangor tetapi berskala kecil. Di Stesyen Meragang, kita nak yang agak besar dan melibatkan kos yang besar,” katanya
Dr. Abdul Rahman berkata, Sarawak mempunyai tiga stesyen ternakan besar iaitu Meragang Lawas untuk ternakan kerbau, Temudok Sri Aman untuk kambing dan biri-biri manakala di Karambungan Miri untuk ternakan lembu.
“Stesyen Meragang Lawas istimewa sebab selain untuk pembiakan, kita akan menyerahkan kepada peserta dan penternak yang berminat sama ada pihak swasta atau individu untuk mereka pelihara melalui sistem Pawah,” tegas beliau.
Bagi tujuan pengeluaran keju, tambahnya, penggunaan teknologi moden dan kerbau jenis Murra yang mampu menghasilkan 25 liter susu sehari akan digunakan.
Beliau berkata, Centex Lawas turut menawarkan kursus ternakan kerbau kepada pelajar berminat dalam usaha transformasi modal insan lebih berpengetahuan dalam teknologi penghasil produk hiliran daripada kerbau.
Mohamad Sabu tiba dari Brunei dan singgah di Trusan sebelum meneruskan perjalanan panjang ke Stesyen Pembiakan Kerbau Meragang.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa.
