Program khas peralihan kepada lesen motosikal berkuasa tinggi bermula 1 Oktober ini

SARATOK: Program khas peralihan pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 bagi mendapatkan kelas B untuk motosikal berkuasa tinggi akan bermula 1 Oktober ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, antara syarat program ini adalah mesti memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif selama sekurangnya 10 tahun dan tiada kes saman.

“Syarat ini bertujuan memastikan tahap kompetensi dan pengalaman pemanduan motosikal bagi individu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Bantuan MyLesen Kelas B2 peringkat DUN Kalaka dan Krian yang disertai seramai 1,771 peserta di Dataran Terbuka Sri Kalaka, di sini.

Hasbi menjelaskan, bahawa calon menyertai program peralihan khas ini akan dikenakan bayaran sebanyak RM160 untuk menampung kos operasi di institut memandu.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri; ADUN Krian, Friday Belik; Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan (JPJ) Malaysia, Aedy Fadly Ramli dan Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili.