Lawatan turun padang ke pedalaman

KUCHING: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) merancang satu lagi siri lawatan turun padang ke pedalaman Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, siri lawatan itu akan turut disertai oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

Siri lawatan kali ini adalah dari Miri ke Bario menggunakan jalan darat, katanya berucap pada majlis makan malam bersama kontinjen JKR Sarawak yang menyertai karnival sukan kebangsaan JKR di Kuala Lumpur, semalam.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, MIPD mengadakan lawatan lima hari bermula dari Miri ke Bahagian Bintulu, Mukah, Kapit, Sibu dan Sarikei yang meliputi 80 peratus kawasan negeri ini, minggu lalu.

“MIPD mendapatinya sangat berfaedah untuk perancangan masa depan bagi meningkatkan lagi kemudahan infrastruktur di luar bandar,” tegas beliau.

Perancangan itu untuk menghubungkan rumah panjang dan kampung yang masih belum memiliki jalan raya, katanya.

Menurut Uggah, perancangan itu juga berkaitan usaha menaik taraf dan menyelenggara jalan balak yang ditinggalkan tetapi masih banyak digunakan oleh penduduk luar bandar.

Siri lawatan itu, tambahnya, juga bertujuan memantau perkembangan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan bagi memastikan ia siap mengikut jadual dan mengelak daripada menjadi ‘projek sakit’.

MIPD, katanya, turut mengadakan taklimat dan dialog dengan wakil rakyat di kawasan terbabit untuk menyuarakan pandang mereka, masalah yang dihadapi dan bantuan yang diperlukan.

Sarawak yang menyasar mencapai status negeri maju menjelang 2030, katanya, mahu semua rumah panjang dan kampung boleh dihubungi dengan jalan raya.

Beliau menggesa kakitangan JKR negeri mengambil kesempatan daripada karnival itu untuk bertukar-tukar pengalaman dan menimba pengetahuan daripada negeri lain dalam melaksanakan projek pembangunan dan mengelak berlaku projek sakit

Hadir sama Timbalan Menteri MIPD, Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Setiausaha Tetap MIPD, Datuk Chiew Chee Yaw dan Pengarah JKR Sarawak, Dr Cassidy Morris.