KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan hari ini mengajak semua lapisan masyarakat supaya bersama-sama mengenang dan menghargai perjuangan pemimpin terdahulu yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan.
Beliau berkata, pengorbanan mereka bukan sahaja telah melepaskan rakyat daripada belenggu penjajahan, tetapi turut membina sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan rakyatnya hidup bersatu padu.
“Hasil perjuangan pemimpin terdahulu membolehkan negara mencapai kemerdekaan seterusnya membentuk Persekutuan Malaysia,” katanya dalam perutusan sempena menyambut Hari Kebangsaan Ke-67 di sini.
Bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan padatahun ini iaitu ‘Jiwa Merdeka’ beliau berharap rakyat akan memahami signifikan sambutan Hari Kebangsaan.
“Marilah kita bebas dari belenggu penjajahan minda terus melakar kejayaan demi kejayaan tanpa terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang cuba menggangu gugat kestabilan politik di Sarawak
khususnya dan Malaysia amnya.
“Kibarkanlah bendera Ibu Pertiwi dan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan ini dan semoga semangat patriotisma sentiasa kekal teguh di dalam diri kita.
“Marilah kita membina masa depan Sarawak dan Malaysia yang lebih gemilang untuk semua,” tegas beliau.
