Karnival Pembangunan Komuniti Perhutanan 2024 bantu pengusaha NTFP

KUCHING: Karnival Pembangunan Komuniti Perhutanan 2024 anjuran Jabatan Hutan Sarawak (JHS) di sini, menjadi landasan pengusaha hasil hutan bukan kayu (NTFP) memasarkan produk hingga ke peringkat antarabangsa.

Karnival itu berlangsung di pusat beli belah Plaza Merdeka di sini mulai 14 hingga 22 September ini.

Timbalan Menteri Perancang Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, karnival itu melibatkan 100 peserta komuniti NTFP di sekitar kawasan hutan simpan kekal seluruh Sarawak.

“Karnival dan ekspo NTFP ini meningkatkan lagi hasil jualan pihak komuniti sekali gus membantu mempromosikan NTFP dengan kerjasama agensi kerajaan dan bukan kerajaan,” katanya ketika merasmikan karnival tersebut di sini, hari ini.

Len berkata, karnival juga merangkumi aktiviti dan industri berasaskan perhutanan seperti restorasi, aktiviti ekopelancongan, inap desa dan sebagainya.

Hadir sama Timbalan Pengarah Hutan (Pengurusan Hutan) Semilan Ripot dan Penolong Pengarah Hutan yang juga Ketua Bahagian Perhutanan Sosial Suliman Jamahari.