TANJUNG MANIS: Projek menaik taraf tebingan Pantai Belawai di sini akan dilaksanakan bagi melonjakkan potensi pantai itu.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar berkata, Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM161 juta untuk projek itu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, berkata, projek akan bermula dari kawasan Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) sehingga ke Kampung Belawai.
“Saya berharap semua pihak memberikan kerjasama agar perancangan kita untuk menjayakan pelaksanaan projek ini menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Belawai, di sini, hari ini.
Len Talif berkata, kerajaan mengambil langkah proaktif menaik taraf pantai itu yang mempunyai persekitaran tenang dan jajaran pantai yang bersih untuk kemudahan pengunjung.
“Usaha yang memberi impak besar dalam tempoh jangka panjang ini sudah pasti akan membuka ekonomi baharu kepada penduduk khususnya peniaga kecil,” katanya.
Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab.
GAMBAR: SAHARUDIN ABU SEMAN