Konvensyen Parti PBB awal 2025

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengadakan Perhimpunan Agung Ke-16nya di sini sama ada pada penghujung Januari atau awal Februari tahun depan.

Setiausaha Agung Parti PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kesemua 82 cawangan parti di seluruh negeri akan selesai mengadakan mesyuarat agung masing-masing pada Disember 2024.

“Sebahagian daripada ranting dan cawangan ada yang sudah selelai mengadakan mesyuarat agung mereka,” katanya pada sidang media sejurus selesai Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Parti PBB di sini malam tadi.

Mesyuarat yang dihadiri hampir kesemua Ahli MT Parti PBB itu dipengerusikan Yang di-Pertua Parti merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Alexander Nanta yang juga Menteri Kerja Raya Malaysia menegaskan, mesyuarat berkenaan meluluskan pertambahan 10 ahli baharu untuk menduduki MT Parti.

Beliau berkata, daripada 10 ahli baharu MT itu, lima orang daripada Pergerakan Wanita parti dan lima orang Pergerakan Pemuda.

Pada 5 Oktober ini, Yang di-Pertua Parti PBB akan melancarkan secara rasmi sayap Pergerakan Belia Parti PBB di Sibu selepas mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS), katanya.

Katanya, Yang di-Pertua Parti PBB turut merasmikan mesyuarat agung di empat zon iaitu Zon Selatan yang dipengerusikan oleh Naib Yang di-Pertua Kanan, Dato Sri Fadillah Yusof, zon Betong (Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas), zon Tengah (beliau sendiri) dan zon Utara (Timbalan Yang di-Pertua Parti, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan) pada Disember 2024.