Pergerakan Belia Parti PBB akan dilancar 6 Oktober

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan melancarkan Pergerakan Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang bermula 5 hingga 7 Oktober ini, di Sibu.

Pergerakan tersebut merupakan sayap baharu terdiri daripada golongan belia berusia di antara 18 hingga 28 tahun. Pelancaran diadakan setelah mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Setiausaha Agung Parti PBB merangkap Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata, sehingga kini segala proses penubuhan termasuk peraturan yang diperlukan sayap belia telah dilaksanakan.

Yang di-Pertua Parti PBB merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bakal
merasmikan pelancaran itu nanti.

“Kita sudah melaksanakan semua peraturan yang diperlukan dan dimasukkan dalam perlembagaan seperti peraturan untuk pergerakan pemuda, pergerakan sayap wanita dan ini peraturan kepada belia yang berusia 18 ke 28 tahun. Ini kita sudah selesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Parti PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam tadi.

Mesyuarat dipengerusikan Yang di-Pertua Parti PBB.

Tambahnya, peraturan tersebut masih perlu dibentangkan dalam Perhimpunan Agung yang akan datang sebelum mendapat kelulusan daripada ROS.

Hadir sama, Timbalan Premier yang juga Timbalan Yang di- Pertua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Yang di-Pertua Kanan Parti, Dato Sri Fadillah Yusof dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Pengerusi Tetap Parti PBB Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan ahli-ahli MT Parti.