Premier umum hadiah untuk SK Rakyat Tupong

KUCHING: Sambutan Ulang Tahun Ke-75 Sekolah Kebangsaan (SK) Rakyat Tupong bermakna apabila menerima beberapa hadiah berupa pembangunan semula sekolah itu dari Kerajaan Sarawak.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, lebih RM10 juta dana diperuntukkan bagi pembinaan blok baharu, bangunan pra sekolah, pusat sumber dan padang sekolah yang akan mula dilaksana pada tahun hadapan.

Katanya, semua blok baharu mungkin membabitkan kos berjumlah RM8 juta termasuk pra sekolah dan pusat sumber serta keempat padang sekolah untuk murid-murid bersukan.

“Saya berharap kita dapat mulakan pembangunan ini mulai tahun hadapan kerana dananya telah diberikan,” katanya ada Perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-75 Penubuhan SK Rakyat Tupong hari ini.

Bagi menambah keceriaan sekolah tersebut, Abang Johari mencadangkan agar dibina satu kawasan air pancut di kolam padang itu nanti.

Beliau turut mengumumkan pemberian dana kepada Persatuan Alumni SK Rakyat Tupong berjumlah RM75,000.

“Ini merupakan ulang tahun ke-75 sekolah ini dan kepada Persatuan Alumni SK Rakyat Tupong, jadi saya akan sumbangkan RM75,000.

“Terpulanglah kepada mereka untuk menguruskan wang ini tetapi ia mestilah memberikan kebaikan kepada anak kita,” tambah beliau.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dato Hilmy Othman, Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Pengerusi Lembaga Pengurusan SK Rakyat Tupong Dato Dr Zaiedi Suhaili, Pengarah Pendidikan Sarawak Datu Dr Azhar Ali Ahmad.