KUCHING: Penulis sastera harus menghasilkan karya yang meningkatkan kesedaran mengenai masa depan dalam kalangan individu dan masyarakat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata untuk itu penulis sastera harus melihat masa depan bagi meningkatkan kesedaran terbabit.
“Mereka mesti memanfaatkan kepentingan pemikiran masa depan sebagai satu cara membangunkan paradigma dan metodologi,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Sastera Sarawak ke-11 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, malam tadi.
Penyampaian anugerah pada malam tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, Dr. Hazami Jahari.
Sebanyak enam kategori anugerah disampaikan pada malam berkenaan merangkumi, Anugerah Penulis Harapan Sarawak, Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Kategori Bahasa (Bahasa Iban), Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Puisi), Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Cerpen), Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Esei Kritikan), Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Novel), Anugerah Khas Bahasa dan Sastera serta Anugerah Sasterawan Sarawak.