KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) menanggung semua kos pemasangan saluran paip gas di Quadruplex Taman Ceria (QTC), Permyjaya di Miri.
Sambil mengucap syabas kepada pasukan PETROS, belia berkata, pemasangan saluran paip itu adalah untuk menghantar gas terus ke dapur pemilik rumah.
Apabila projek itu selesai dilaksanakan sepenuhnya, ia akan memberi manfaat kepada lebih 3,000 isi rumah di kawasan terbabit, katanya berucap pada Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun PETROS ke-7 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching malam tadi.
Beliau berkata, PETROS kini sedang giat memasang saluran paip gas selamat kepada 135 lagi isi rumah berpendapatan rendah di kawasan taman perumahan berkenaan.
Fasa kedua itu sedang berjalan dengan baik dan dijadualkan siap menjelang 2025, katanya dan menambah, sejurus siap sepenuhnya akan memberi manfaat kepada lebih 3,000 isi rumah di kawasan itu.
Fasa pertama projek itu memberi manfaat kepada 13 isi rumah pada Februari lepas, tegas beliau.
Abang Johari menegaskan, PETROS juga akan melancarkan inisiatif baharu bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Inisiatif itu, katanya, merangkumi program yang memberi peluang kepada pelajar untuk mengikuti kurikulum yang menyeluruh, yang tidak hanya menekankan kemahiran praktikal tetapi juga latihan mental serta panduan kerjaya.
“Tujuannya adalah untuk memastikan pelajar lebih bersedia dan sesuai untuk memasuki pasaran kerja, sekali gus memenuhi keperluan industri di Sarawak,” katanya.
Pengerusi PETROS, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo dalam ucapan aluannya berkata, sambutan ulang tahun itu bukan sahaja mencerminkan pencapaian penting PETROS, malah mengukuhkan komitmennya untuk memacu pertumbuhan mampan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Sarawak.
Ini termasuk sumbangan dalam sektor kesihatan, projek infrastruktur, serta pelancaran program PETROS ‘Train and Place’ untuk membangunkan bakat tempatan dalam sektor tenaga, katanya.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengerusi SAINS Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS Dato Janin Girie.