TANJUNG MANIS: Misi dan visi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mesti melangkah jangkauan zaman dalam era kecerdasan buatan (AI) mengikut peredaran zaman.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dengan misi dan visi berteraskan ‘Sarawak Untuk Semua, Semua Untuk Sarawak’ maka beberapa inisiatif dan pencapaian khususnya Parti PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merangka beberapa inisiatif seperti berikut:
- Hak-hak kepentingan Sarawak seperti termaktub dalam MA63. Merancakkan Pembangunan Sarawak di bandar dan luar bandar. Pengurusan dan Pentadbiran yang berintegriti. Menjaga Kebajikan Rakyat.
- Pembangunan Pendidikan seperti menubuhkan Universiti /Kolej di bawah Kerajaan Sarawak. • Pembangunan Infrastruktur seperti jambatan baharu, jalan utama Kedua dan Rangkaian Jalan Pesisir. Pembangunan Sosial seperti memperkasakan UNIFOR (Unit Hal Ehwal Agama Lain).
- Menaikkan gaji Ketua Masyarakat, Ketua Kaum, sumbangan RM1,000 untuk setiap bayi yang baharu lahir, Rumah SPEKTRA, Rumah Mampu Milik (RMM), bantuan khas nelayan, Kenyalang Gold Card ( KGC) dan lain-lain.
- Merangka Penguatkuasaan Maritim di Perairan Pantai Sarawak. Menyediakan Kesihatan yang terbaik untuk anak Sarawak.
- Perancangan sistem ekonomi yang lebih sistematik. Pengurusan Sumber yang sistematik sesuai dengan memperkasakan Pengurusan Alam Sekitar yang bersih dan mampan melalui karbon trading.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar II berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Parti PBB N.41 Kuala Rajang di Dewan IKS, Tanjung Manis, hari ini.
Awang Tengah selaku Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB menasihati ahli parti termasuk N.41 Kuala Rajang harus memahami dasar dan strategi kerajaan khususnya Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030.
“Ini supaya setiap ahli dapat memainkan peranan dalam pelaksanaannya seterusnya dapat manfaat sejajar dengan kehendak Kerajaan GPS,” ujarnya.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan itu turut menggesa ahli parti khususnya di N.41 Kuala Rajang untuk kekal bersatu padu dan memberi sokongan penuh kepada Yang di-Pertua Parti merangkap Premier Sarawak, untuk menentukan Parti PBB akan terus relevan dan memimpin Kerajaan Sarawak.
