Projek pembentungan DUN Tupong hampir siap – Fazzrudin

KUCHING: Projek pembentungan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong dijadual siap 90 peratus menjelang penghujung November ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman.

Beliau berkata, jadual itu ditetapkan pada satu mesyuarat susulan daripada lawatan ke tapak projek berkenaan hari ini yang turut dihadiri oleh agensi berkaitan, kontraktornya dan penduduk kampung.

“Kita diberi taklimat oleh Jabatan Pembentungan dan juruperunding mengenai status projek terbabit yang terpaksa berhadapan dengan banyak cabaran,” katanya kepada pemberita di sini.

Selepas meneliti peta projek itu, pihaknya mendapati hampir 90 peratus daripada jalan raya (terjejas oleh projek pembentung) akan siap pada penghujung November dan diturap semula, katanya.

Projek pembentungan itu, tegas beliau, menjejaskan sepanjang jalan raya Kampung Pinang Jawa dan Kampung Laruh Skim.

Fazzrudin berkata, pada mesyuarat itu, beliau turut menggesa kontraktor untuk menyiapkan jalan raya yang terlibat dalam projek pembentungan tersebut.

Pada masa sama, katanya, terdapat beberapa batang jalan raya yang juga perlu disiapkan sungguhpun kontraktornya berhadapan dengan cabaran untuk menyiapkan projek berkenaan.

“Hanya terdapat dua atau tiga batang jalan yang masih perlu disiapkan,” katanya dan menambah, kontraktornya berusaha sebaik mungkin untuk menangani isu terbabit.

Fazzrudin yang juga Ketua Setaiusaha Politik Premier Sarawak menegaskan, kerja menurap jalan akan bermula sejurus projek pembentungan itu siap untuk keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

Hadir sama wakil Dewan Bandaraya Kuching Utara, Jabatan Perkhidmatan Pembentungan, kontraktor, juruperunding dan pemimpin akar umbi Tupong.