4,686 penerima Bantuan Kesejahteraan Sosial di Betong

DEBAK: Seramai 4,686 penduduk di Betong menikmati Bantuan Kesejahteraan Sosial (BKS) membabitkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1,831,650 setakat Oktober lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, seramai 153 Orang Kelainan Upaya (OKU) didaftarkan di Betong termasuk 56 pelatih yang ditempatkan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Betong dan Saratok membabitkan 12 petugas.

Katanya, seramai 74 usahawan Wellbest (UWB) aktif sedang dibimbing dan pada tahun ini, seramai 35 usahawan sudah dipilih dan akan menerima geran di bawah Program Pembangunan Ekonomi Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong.

“Ia merupakan penerima bantuan kewangan kebajikan yang produktif dan menerima Geran Pelancaran sebanyak RM5,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Outreach: Santuni Komuniti di Rh. Inchok, Sabar Lama, Jalan Dit, di sini, hari ini.

Dari aspek kesejahteraan warga emas, Pemegang Kad Kenyalang Gold di Betong pada ketika ini seramai 21,818 orang manakala 1,493 waris pemegang Kad Kenyalang Gold mendapat manfaat dari pembayaran Bantuan Ihsan Kematian secara one-off dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM4,339,200 sehingga Oktober lalu, katanya.

Permohonan bagi Senior Citizen Health Benefit (SCHB), inisiatif terbaharu kerajaan negeri bagi menyediakan kemudahan pesakit luar secara tanpa tunai di klinik @ hospital panel dengan had maksimum RM500 seorang / setahun telah mencatatkan 473 permohonan.

“Daripada jumlah itu, 381 orang telah diluluskan permohonannya,”

Berkongsi lanjut, beliau memberitahu di bawah Unit Pembangunan Komuniti Sukarela, seramai 121 sukarelawan yang berdaftar dengan Pejabat Kebajikan Bahagian Betong dan ketika ini seramai 30 orang petugas Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) telah dilantik untuk menyantuni empat orang klien jabatan.

GAMBAR:UKAS