SIMANGGANG: Pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di peringkat cawangan dan ranting diingat supaya menguar-uarkan inisiatif baharu yang diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam Belanjawan 2025.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, program dan inisiatif yang dirangka untuk memberi manfaat kepada rakyat Sarawak yang menetap di negeri ini.
”Saya menasihat semua pemimpin akar umbi untuk memastikan mereka cakna dan mengambil tahu berkenaan program ini agar semua dapat merasai manfaatnya.
”Matlamat pelaksanaan inisiatif dan program dalam Belanjawan 2025 untuk memastikan keperluan asas seperti makanan adalah mencukupi terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat tiga tahun sekali Parti PBB Cawangan Bukit Begunan dan Engkilili di sini, hari ini.
Uggah dalam masa sama, berkata bantuan seperti Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS)
membabitkan antara RM250 hingga RM800 setahun itu juga akan melengkapkan bantuan kewangan dari kerajaan persekutuan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
