Kajian kenaikan elaun ahli majlis PBT hampir selesai

KUCHING: Kerajaan Sarawak dijangka bakal menaikkan elaun ahli majlis atau kaunselor pihak berkuasa tempatan (PBT), ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) pada tahun depan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kajian terperinci perkara itu hampir selesai.

“Namun, kajian terperinci menaikkan elaun KMKK dan ketua kampung masih di peringkat akhir dan kementerian ini bakal mengadakan mesyuarat pada tahun depan untuk memuktamadkan butirannya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Keselamatan Kebakaran dan Teman Pili Bomba di Dewan Perpaduan RPR Batu Kawa di sini, hari ini.

Dr Sim berkata, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhasrat agar kenaikan elaun ahli PBT perlu dilakukan serentak pelarasan KMKK dan ketua kampung.

“Ia bagi mengelak sebarang kontroversi yang dikhuatiri bakal berlaku di kemudian hari,” jelasnya.