KUCHING: Usaha Kerajaan Sarawak dalam mempertahankan hak negeri ke atas sumber minyak dan gas termasuk pelantar benua untuk memastikan dasar serta undang-undang sedia ada terus diperkuatkan.
Ketua Setiausaha Politik Premier, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, perkara tersebut penting seperti yang termaktub dalam Ordinan Perlombongan Minyak 1958 dan Ordinan Pengedaran Gas 2016.
“Ia juga sebagai usaha untuk memelihara kepentingan ekonomi dan kedaulatan Sarawak. Kita di Cawangan Tupong menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Premier dalam mempertahankan hak Sarawak ke atas sumber minyak dan gas, termasuk pelantar benua,” katanya.
Fazzrudin yang juga Ketua Parti PBB Cawangan Tupong berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tiga Tahun Sekali Parti PBB Cawangan Tupong di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata, kesemua ahli parti Cawangan Tupong memberi sokongan penuh jawatan pemimpin utama dikekal tanpa bertanding.
“Kita menyokong sepenuhnya Abang Johari kekal sebagai Yang di-Pertua Parti PBB; Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (Timbalan Yang di-Pertua) serta Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom kekal sebagai Naib Yang di-Pertua Kanan,” katanya.
