TRISO: Bangkai ikan paus yang ditemui dekat Jambatan Triso di Sungai Batang Lupar di sini, baru-baru ini kemungkinan besar dihanyutkan arus deras.
Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam kenyataan berkata, ini susulan pihaknya membuat siasatan teliti berhubung penemuan bangkai ikan paus dari jenis Paus Baleen dewasa itu.
“Paus itu berkemungkinan besar dihanyutkan arus deras disebabkan musim tengkujuh ketika ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut SFC juga hasil bedah siasat juga menemui sampah sarap seperti selipar, plastik dan lain-lain di dalam perut paus.
“Setelah bedah siasat dijalankan, Kontroller Hidupan Liar bersetuju agar tulang paus berkenaan diserah kepada Jabatan Muzium Sarawak untuk diawet dan tindakan selanjutnya,” katanya.
Katanya, penduduk Kampung Triso dan agensi berkaitan juga membantu dalam proses pembersihan kawasan berkenaan bagi mengelak bau yang kurang menyenangkan dari bangkai paus.
Pihak pengurusan SFC juga mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Jabatan Muzium Sarawak; Pejabat Daerah; Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Triso; pihak kontraktor pembinaan jambatan; operator feri Triso dan penduduk.
GAMBAR:SFC
