KUCHING: Masyarakat perlu menyedari pentingnya memelihara kebersihan alam sekitar ketika dunia mengalami perubahan iklim yang tidak menentu pada masa ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Kr Prof. Madya Dr Sopian Bujang berkata, oleh itu masyarakat perlu peka pentingnya menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah atau barangan terpakai sembarangan.
Katanya, beberapa barangan terpakai tidak semestinya menjadi sampah sebaliknya ia boleh dikitar semula menjadi bahan berguna dan berharga jika dijual.
Menurutnya, sebagai contoh minyak masak yang telah dipakai boleh dikumpul semula untuk dijual kepada pengusaha yang boleh mengitar semula minyak masak terpakai itu menjadi bahan berguna.
“Jika minyak masak terpakai itu dibuang atau dicurahkan ke dalam sungai atau longkang ia boleh mencemarkan alam sekitar dan memusnahkan habitat lain di dalam sungai,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Kr Tan Kai di majlis penyampaian hadiah bagi program pengasingan sisa pepejal peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah di kawasan MPP Dewan Sri Gemilang , SM Sains Kuching.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai dan pelajar kesan buruk akibat pembuang sisa pepejal secara tidak terkawal atau secara sembarangan.
Perbuatan buruk ini boleh menjejaskan alam sekitar dan kesihatan manusia serta memusnahkan habitat lain.
Dr Sopian menjelaskan, menyedari hakikat itulah MPP dengan kerjasama Trienekens sentiasa mengadakan program kesedaran alam sekitar dan pengurusan pepejal secara berhemah.
Ini bagi memastikan kebersihan alam sekitar dan kualiti kehidupan serta kesihatan manusia sentiasa terjamin, katanya.
Antara aktiviti yang diadakan ialah ceramah kesedaran, pengumpulan barangan terpakai yang boleh dikitar semula, pertandingan mewarna, pertandingan mengguna semula kain atau tekstil terpakai, pertandingan video kelestarian alam sekitar.
Sekolah Menengah Sains Kuching dan SMK Matang Hilir diumumkan pemenang bagi kategori sekolah menengah, manakala SK Matang Jaya, SK Taba Sait, SJK ( C ) Chung Hua Stapok, SJK ( C) Pangkalan Baru, SJK ( C ), Batu 4 setengah, SK St. Augustine, SK St Francis Xavier dan SK Garland diumumkan sebagai pemenang bagi kategori sekolah rendah.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar MPP, Kr Tnay Li Ping, Pengetua SM Sains Kuching, Othman Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi Trienekens (Sarawak) Sdn. Bhd dan berapa pegawai kanan MPP.
