KUCHING: Ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) digesa supaya mengutamakan kepentingan dan kekuatan parti dan bertanding dalam semangat kekeluargaan.
Ketua Parti PBB Cawangan Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, ketepikan slogan ‘kita lawan tetap lawan’ untuk meneruskan perjuangan.
“Mesyuarat perwakilan adalah proses untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli parti setiap tiga tahun sekali,” katanya merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tritahunan Parti PBB Cawangan Samariang di sini, baru-baru ini.
Hasidah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri Persekutuan) menegaskan, meneruskan perjuangan parti untuk membantu membangunkan negeri dan rakyat lebih penting daripada bertelagah sesama sendiri.
Utamakan perpaduan dan kekuatan parti, katanya sambil mengajak ahli-ahli parti supaya berdiri teguh di belakang pucuk kepimpinan untuk meneruskan perjuangan menuntut hak-hak rakyat yang terhakis.
Mengutamakan perjuangan parti dan setia kepada pucuk kepimpinan katanya, hendaklah dijadikan budaya untuk memastikan Parti PBB tidak goyah.
