Banjir: Petugas Pusat Khidmat Kapit dikerah hulur bantuan, tinjau kawasan

KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi mengerahkan anggota pasukan Pejabat Parlimen Kapit ke kawasan dilanda banjir untuk melihat keperluan penduduk yang terjejas dan menyalurkan bantuan segera.

Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, pihak berkuasa tempatan bersama pasukan penyelamat juga sedang berusaha sedaya upaya bagi membantu penduduk yang terjejas termasuk usaha menyelamatkan mereka yang terperangkap dan memastikan keselamatan mangsa.

Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang beliau mengingat penduduk di Kapit supaya berhati-hati dan mengikuti arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menzahirkan rasa sedih dan merakamkan rasa simpati terhadap penduduk di Rumah Dennis anak Langok, Amang Ulu, di Jalan Selirik Kapit, yang terkesan teruk akibat dilanda banjir pagi tadi.

Beliau dimaklumkan, kawasan rumah panjang itu mula dinaiki air seawal jam 6 pagi dan menenggelamkan hampir kesemua kenderaan yang diparkir di kawasan rumah panjang terbabit.

“Saya dimaklumkan bahawa beberapa rumah panjang di kawasan ini juga telah terjejas akibat hujan lebat yang berterusan, menyebabkan paras air meningkat dengan cepat dan mengancam keselamatan penduduk.

“Rumah panjang ini baharu sahaja saya lawati pada September lalu bagi meninjau perkembangannya yang telah dinaik taraf selepas menerima peruntukan sebanyak RM1.3 juta yang diluluskan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tahun lalu.

“Lebih memilukan, satu kejadian tragis turut dilaporkan yang mana seorang mangsa ditemui meninggal dunia selepas terperangkap di dalam kereta akibat banjir yang melanda di kawasan itu.

“Berdasarkan maklumat awal, mangsa Bangau ak Amping, 75 tahun, yang merupakan pesara paderi sedang dalam perjalanan pulang selepas menghantar isterinya yang berniaga di hadapan SK Methodist, Kapit.

“Saya turut difahamkan, semasa kejadian, air telah melepasi jalan raya akibat hujan yang turun sejak malam tadi dan arus kuat telah menyebabkan kereta bersama mangsa dihanyutkan ke dalam parit berdekatan.

“Mangsa berjaya dikeluarkan sekitar jam 7.40 pagi tadi dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan yang berada ke tempat kejadian,” katanya.

Beliau menzahirkan rasa sedih dan simpati dan berdoa agar keluarga mangsa diberi kekuatan berhadapan dengan dugaan itu.