Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2024 terima 390 penyertaan

KUCHING: Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2024 menerima sebanyak 390 penyertaan dalam 10 kategori dengan acara utama dijadual berlangsung di Riverside Majestic Hotel pada 14 Disember ini.

Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), Ronnie Teo Teck Wei memberitahu, Kerajaan Sarawak merupakan salah satu penaja utama acara berprestij itu dengan sumbangan sebanyak RM100,000.

Menurutnya, anugerah ini bertujuan mengiktiraf dan menghargai pencapaian cemerlang wartawan.

“Kami berbesar hati kerana Kerajaan Sarawak kembali sebagai Penaja Platinum dengan sumbangan sebanyak RM100,000.

“Selain itu, kami turut disokong lima penaja tambahan, termasuk Petronas, Shell Malaysia, Sarawak Energy, serta dua penaja baharu, Yayasan Peneraju dan Press Metal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia (WBM) di sini, hari ini.

Ronnie menambah, sumbangan Kerajaan Sarawak akan disalurkan kepada pemenang Anugerah Premier dan kategori Ekonomi Digital.

Sementara itu jelasnya, Press Metal akan menaja Anugerah Laporan Berita dan Yayasan Peneraju menyumbang untuk Anugerah Kewartawanan Penyiaran.

Penajaan sebanyak RM50,000 masing-masing turut diterima daripada Petronas, Sarawak Energy dan Shell Malaysia untuk Anugerah Kewartawanan Kesejahteraan Komuniti, Anugerah Kewartawanan Kelestarian, serta Anugerah Laporan Perniagaan dan Ekonomi.

Selain itu, beberapa penaja korporat lain seperti Affin Bank, SEDC Energy, Citadel dan SOCOE turut menyokong acara ini.

Ronnie turut mengumumkan bahawa jualan tiket korporat akan diperkenalkan buat pertama kali membolehkan sektor swasta dan orang awam menyaksikan pengumuman pemenang secara langsung.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol serta delegasi dari KDJA.

Terdahulu, Abang Johari turut menerima kunjungan hormat dari Persekutuan Persatuan Orang Ulu (FORUM) diketuai Penasihatnya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.

Selain itu, beliau turut menerima kunjungan hormat daripada Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) yang diwakili oleh Naib Presidennya, Farrah Naz Karim dan Bendahari Kehormat, Sharanjit Singh.