KUCHING: Kerajaan Sarawak akan berusaha mengambil alih projek perumahan Sentoria sekiranya kontraktor penyelamat tidak dapat melaksanakan projek itu di Petra Jaya di sini.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, setelah beliau bertemu dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Michael Tiang yang ditugaskan menjaga projek itu baru-baru ini.
“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Premier dua hari lalu tentang projek ini dan Kerajaan Negeri akan berusaha untuk mengambil alih bahagian yang dapat diambil alih (dari projek itu) ,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Pameran Hidrogen Hijau 2024 di Menara Sarawak Energy, di sini, hari ini.
Dr Abdul Rahman berkata, setelah diambil alih, projek itu akan dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).
Beliau berkata, ketika ini hanya isu tanah projek terbabit yang telah diwartakan di bawah pihak berkuasa lain dan ia sedang dibincangkan oleh kementerian berkenaan.
