BINTANGOR: Sektor pertanian termasuk penanaman padi di negeri ini perlu menerapkan teknologi digital dan jentera terkini untuk berkembang maju.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penggunaan teknologi digital dan jentera terkini akan membantu menjana pendapatan lumayan kepada petani.
Sehubungan itu katanya, kerajaan memerlukan penglibatan generasi baharu yang berkemahiran dalam usahawan tani bagi memperkasakan sektor makanan.
“Sekarang era digital, menggunakan jentera.
“Ketiga, kita menggunakan anak kita yang ada latar belakang jurutera dan latar belakang pertanian yang dipelajari mereka di universiti.
“Kita terpaksa gunakan anak-anak kita yang pandai ini menukar cara menanam padi tanpa menggunakan cara lama,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pelancaran Projek Padi Hybrid Dan Kilang Pemprosesan Beras Onemas Agriculture Sdn Bhd di sini, hari ini.
Tambahnya, Sarawak kini menyasarkan untuk tidak lagi mengimport beras dari luar jika berjaya mencapai sasaran pengeluaran 240,000 tan metrik beras yang ditanam di 14,000 hektar kawasan penanaman padi di seluruh negeri.
Malah katanya, Sarawak bercadang untuk mengeksport beras ke luar sekiranya jumlah sasaran pengeluaran beras itu berjaya dicapai.
“Sekarang kita import, hanya 30 peratus kita keluarkan, 70 peratus import.
“Beras yang kita gunakan di Sarawak hanya kira-kira 240,000 tan metrik. Kalau kita dapat mengeluarkannya, kita tidak perlu lagi mengimport beras,” katanya.
Sementara itu katanya, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Syarikat Onemas Agriculture Sdn Bhd akan menjalin kolaborasi untuk menghasilkan benih padi hibrid atau campuran baharu.
Menurut beliau, UNIMAS akan membuat kajian terhadap benih padi dari negara China yang digunakan oleh Onemas Agriculture untuk digabungkan bersama benih padi Sarawak.
“Di sini kita telah meminta UNIMAS membantu pengeluaran benih dan sistem penanaman padi. UNIMAS akan membuat kajian untuk mencampurkan benih negara China dengan benih kita. Kajian ini akan berdasarkan kualiti benih,” katanya.
Pada majlis itu, beliau menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UNIMAS dan Onemas Agriculture Sdn Bhd dan melawat kilang pemprosesan beras Onemas Agriculture Sdn Bhd.
Hadir sama Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Martin Ben, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Tan Sri William Mawan Ikom dan Pengerusi Onemas Agriculture Sdn Bhd Datuk Stephen Sia.