Laporan polis dibuat, kenyataan fitnah kaitkan Timbalan Premier

KUCHING: Tujuh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak telah membuat laporan polis berhubung kenyataan fitnah yang diubah suai dan mengaitkan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Laporan tersebut difailkan di Balai Polis Satok semalam (Khamis), diketuai oleh Roseline Mapong Sabai.

Menurut Roseline, kandungan kenyataan itu bukan sahaja mengelirukan, malah berunsur fitnah dan berniat jahat.

“Ia tidak menghormati pemimpin Sarawak serta bertentangan dengan pendirian negeri ini yang sentiasa mempertahankan hak Sarawak dengan tegas. Tuduhan yang melabelkan Sarawak sebagai ‘hamba’ atau ‘ulun’ kepada mana-mana pihak adalah tidak berasas dan keterlaluan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perbuatan menyebarkan maklumat palsu melalui media sosial adalah salah di sisi undang-undang.

“Tindakan sebegini boleh menimbulkan keresahan, kemarahan rakyat, dan mengancam keselamatan pemimpin kita, khususnya Datuk Amar Douglas Uggah Embas,” tambahnya.

Roseline turut menyeru agar penyebaran maklumat palsu ini dihentikan segera bagi mengelakkan kesan negatif kepada masyarakat dan negeri Sarawak.

Laporan polis tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, iaitu Abang Abdul Aziz Abang Draup, Abdul Samat Gany, Bell Bernard Agan, Maurice Giri, Damien Rejek dan Kho Teck Wan.

Polis kini sedang menjalankan siasatan terhadap perkara ini. Semua pihak diingatkan agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial.-EDISI UKAS