Premier Sarawak tiba di Dubai, hadiri UNFCCC sempena COP28

DUBAI: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selamat tiba di Dubai petang bagi menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) sempena Persidangan Ke-28 Pelbagai Pihak (COP28).

Ketibaan beliau bersama-sama Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta delegasi Kerajaan Negeri yang lain disambut oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Pada Selasa, Premier Sarawak dijadual menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Entiti Sarawak dan Singapura sebagai sebahagian daripada usaha menarik pelabur ke Sarawak sebagai sebahagian daripada inisiatif ekonomi hijaunya.

Majlis itu menandakan kerjasama strategik antara InvestSarawak dan Surbana Jurong Pte Ltd. yang akan membuka jalan kepada kerjasama dalam bidang yang merangkumi aspek kritikal termasuk Transformasi Industri, Peralihan Tenaga, Penyahkarbonan Industri, Pemerangkapan, Penggunaan Dan Penyimpanan Karbon (CCUS) dan Pembangunan Serta Pengurusan Taman Perindustrian.

Premier Sarawak turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Mubadala, sebuah syarikat pelaburan yang berpangkalan di Abu Dhabi sekaligus menjalin potensi kerjasama dan pelaburan dalam sektor peralihan tenaga pada Rabu.

Selain itu, beliau juga dijangka menghadiri satu lagi pemeteraian MoU antara Masdar, perusahaan komersial global terkemuka dalam tenaga boleh diperbaharui dan teknologi bersih dari United Arab Emirates dan Sarawak Energy Berhad (SEB) yang menonjolkan komitmen bersama terhadap amalan tenaga mampan dan potensi perkongsian strategik.

Abang Johari bersama delegasi kerajaan negeri kemudiannya dijadual bertolak ke London pada Khamis Ini.

Di London, beliau akan mengetuai kerajaan negeri dalam perbincangan lanjut mengenai pelaburan perniagaan dan program rangkaian, menekankan dedikasi Sarawak untuk mengembangkan perkongsian antarabangsa dan menarik pelaburan dalam pembangunan lestari.