Saberkas gedung lahirkan pemimpin

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) sebagai gedung melahirkan pemimpin yang boleh menentukan hala tuju negeri ini untuk masa 50 tahun akan datang.

Beliau berkata, Saberkas yang telah wujud di negeri ini selama setengah abad yang lalu terbukti berjaya melahir golongan belia menjadi pemimpin untuk membangunkan Sarawak.

Penubuhan Saberkas merupakan idea yang sangat cemerlang dan pragmatik, dalam usaha kerajaan negeri menggembleng tenaga, minat serta kecenderungan anak muda Sarawak.

“Ia melibatkan perkara yang bermanfaat dan menjurus kepada pengukuhan perpaduan negeri,” katanya merasmikan Perhimpunan Agung Tritahunan Saberkas Ke-17 di sini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Presiden Saberkas merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abang Johari yang juga Penasihat Saberkas berkata, keaktifan Saberkas yang merentasi pelbagai kaum, kepercayaan, anutan agama mahupun kefahaman politik telah menjadikannya sebagai sosok utama pemilihan belia dan masyarakat dalam aktiviti berpersatuan.

“Kerana itulah, kita melihat Saberkas sangat mudah dan selesa didekati oleh sesiapa sahaja, dengan bersandarkan agenda yang jelas iaitu bersama membangunkan insaniah serta modal insan belia Sarawak,” katanya.

Saberkas bermula 1973 juga telah melalui banyak transisi bukan sahaja pengisian programnya, malah juga transisi kepimpinan sedia ada, tegas beliau.

Katanya, perkara berkaitan transisi program, dahulunya Saberkas sangat terkenal dengan program berteraskan pertanian, perikanan, kem motivasi dan kepimpinan.

Namun kini, Premier Sarawak berkata, pengisian program telah mengalami transisi sewajarnya selaras dengan perubahan minat, tuntutan semasa.

Selain itu kecenderungan belia hari ini dan inilah peranan Saberkas untuk terus menyantuni minat dan keperluan belia di Sarawak dari dahulu hingga kini.

Maka lahirlah program baharu seperti Karnival Sukan saberkas (KASUS), Jerayawara Bubur Lambuk, Saberkas Prihatin, Karnival Kerjaya & Pendidikan Saberkas, Program Pemerkasaan Digital Ekonomi serta Literasi Media, Program Kayuhan Saberkas, Saberkas Youth Talent, JUMS Starts Biznes dan banyak lagi program yang telah dijalankan khasnya dalam pengisian Sambutan Jubli Emas Saberkas pada tahun ini, tambahnya.

Perhimpunan Agung Tritahunan Ke-17 Saberkas kali ini, katanya juga bakal menyaksikan pemilihan kepada pimpinan baharu bagi Sesi 2023-2026 dengan mensasarkan penglibatan lebih ramai golongan belia berusia 39 tahun ke bawah sebagai pemegang jawatan utama kelak.

Menurut Premier Sarawak, dalam usaha meremajakan Saberkas, pastinya transisi kepimpinan itu harus dipastikan berada dalam perancangan yang terbaik agar konsep perpaduan, kesalingfahaman dapat dikekalkan dalam terma keluarga besar Saberkas.