MIRI: Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel turun padang memantau keadaan terkini Kampung Lereng Bukit susulan kejadian tanah runtuh, baru-baru ini.
Dalam lawatannya ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) malam tadi, beliau diberi taklimat oleh Komander Operasi Bencana, ACP Alexson Naga Chabu mengenai kronologi kejadian serta perkembangan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).
Menurutnya, Kerajaan Sarawak dan akan terus menyalurkan bantuan serta mengambil langkah berjaga-jaga untuk menangani sebarang kemungkinan susulan bencana ini.
Beliau turut bertemu dengan mangsa yang terselamat, menyampaikan kata-kata semangat dan menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga yang kehilangan insan tersayang akibat kejadian ini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya lebih berwaspada bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Miri Galong Luang, Temenggong Abang Mohamed Dato’ Sri Abang Othman, Ketua Kampung Lereng Bukit KK Aminudin Morshidi, serta wakil-wakil daripada jabatan dan agensi yang terlibat dalam operasi penyelamatan.
