KOTA SAMARAHAN: Kampung Endap di sini akan menjadi lokasi Program Salam Desa 2025 yang akan menawarkan pelbagai aktiviti menarik selama dua hari mulai 7 hingga 8 Februari ini.
Program anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri itu akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), yang juga merangkap Ahli Parlimen P.197 Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang.
Pengarah KEMAS Negeri Sarawak, Anisah Saidin, aktiviti itu adalah ceramah mengenai kewaspadaan penipuan melalui talian.
Katanya, ceramah ini akan disampaikan oleh pegawai daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), manakala ceramah Peluang Pendidikan Kemahiran TVET akan disampaikan pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Taklimat Penubuhan Koperasi pula akan disampaikan oleh pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Semua pengisian program menarik ini dijangka dapat memberi manfaat kepada semua pengunjung Program Salam Desa di Kampung Endap,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Selain itu, kata Anisah, pameran daripada agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dan agensi jemputan turut diadakan.
Katanya, ini adalah sebagai sebahagian daripada khidmat nasihat untuk memberi maklumat terkini tentang perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi masing-masing.
Menurutnya, Jabatan Kesihatan juga turut mengadakan pameran yang bermatlamat untuk memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan dalam kehidupan seharian, di samping memberi khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada orang ramai.
“Turut diadakan ialah Jualan Rahmah Madani (JRM) yang menyediakan pelbagai jualan barangan keperluan harian antaranya ayam segar, telur, beras, tepung, gula, bihun dan sebagainya.
“Apa yang menariknya, konsep barang keperluan harian yang ditawarkan pada kadar harga yang berpatutan dengan diskaun antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.
“Usaha ini diharap dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya penduduk Kampung Endap serta pengunjung yang datang pada hari tersebut, katanya.
Demikian menurut Pengarah KEMAS Negeri Sarawak, Puan Anisah binti Saidin, ketika ditemui, semasa hadir mempengerusikan mesyuarat penganjuran program tersebut, serta membuat tinjauan lokasi tapak, bersama pemimpin serta Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Endap.