Juh Berambeh Sungkey pupuk persefahaman pelbagai komuniti

KUCHING: Program Juh Berambeh Sungkey @ Kuching 2025 dijangka menarik lebih 3,000 peserta di Padang Merdeka, di sini, pada 15 Mac ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program turut membabitkan penyertaan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor).

“Walaupun iftar adalah sebahagian daripada amalan umat Islam, ramai rakan-rakan bukan Islam turut serta untuk merasai pengalaman berbuka puasa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Juh Berambeh Sungkey @ Kuching 2025, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, penyertaan Unifor pada tahun ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh hubungan antara masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Ini adalah platform terbaik untuk kita lebih memahami satu sama lain,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Unifor Datuk Georgina Apphia Ngau berkata, inisiatif ini sejajar dengan misi Unifor dalam memupuk persefahaman pelbagai komuniti dalam acara-acara keagamaan dan kebudayaan.