Ibrahim dilantik Timbalan Menteri Utiliti, Dr Rahman Junaidi Timbalan Menteri di Jabatan Premier

KUCHING: Pelantikan Dato Ibrahim Baki sebagai Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) adalah langkah tepat kerana memiliki pengalaman luas dalam sektor minyak dan gas.

Demikian kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sambil menambah, Ibrahim mempunyai kelebihan besar kerana beliau adalah bekas pegawai Petronas.

“Beliau (Ibrahim) akan memikul tanggungjawab besar dalam membantu Kerajaan Sarawak dalam rundingan berterusan dengan Petronas,” katanya selepas upacara angkat sumpah ADUN Satok yang juga Naib Yang di-Pertua Parti PBB, Dato Ibrahim Baki di Astana Negeri Sarawak, hari ini.

Abang Johari menjelaskan, Ibrahim pernah berkhidmat dalam sektor undang-undang syarikat Petronas dan turut menjadi ahli lembaga pengarahnya.

Beliau berkata, pengalaman Ibrahim dalam industri minyak dan gas memberikan kelebihan dalam memacu kemajuan sektor tenaga di Sarawak, terutama melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Gas Negeri.

Abang Johari turut mengumumkan perubahan dalam kabinet negeri.

“ADUN Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi akan dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara, dan Hal Ehwal Islam).

“Pelantikan ini berkuat kuasa mulai 17 Mac 2025,” katanya